Lelaki Hilang Ketika Memukat Ditemukan Terapung Di Semporna

SEMPORNA: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di kawasan Laut Sungai Bulian berhampiran Pulau Pababaq pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu pada jam 3.11 petang.

Susulan itu, seorang pegawai penyiasat pergi ke Hospital Semporna bagi memastikan kejadian tersebut dan pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitan dengan unsur jenayah pada mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati berdasarkan makluman, keluarga mangsa yang terlibat dalam pencarian mangsa menyatakan mangsa telah keluar bersendirian dari rumah di Kampung Sungai Bulian pada jam 1.30 petang kelmarin untuk memasang pukat ketam bakau.

“Namun, sehingga kelmarin mangsa belum pulang ke rumah. Maka, keluarganya mencari mangsa di kawasan mangsa selalu memasang pukat ketam dan hanya menemukan boat pam mangsa pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha mencari telah dilakukan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna.

Mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi bot pam mangsa ditemukan pada jam 3.11 petang.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.