Lelaki Hilang Ditemukan Mati Dipercayai Dibaham Buaya Di Tawau

Gambar hiasan sahaja.

TAWAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kampung Brantian, Kalabakan, semalam ditemukan mati hari ini dengan kesan gigitan di perut dipercayai akibat dibaham buaya.

Mayat Mazlan Ampung, 26, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian pada 12.50 tengah hari tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau dalam kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat lelaki itu dilakukan dengan bantuan penduduk kampung, bomba dan polis.

“Pencarian dijalankan dengan menggerakkan bot penduduk kampung selain aset bot APM sendiri,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurutnya semalam MERS 999 menerima panggilan daripada orang awam mengenai orang hilang pada 7.35 malam dan APM menerima kes itu pada 10.16 malam sebelum tiba di lokasi kejadian pada 10.49 malam.