Lelaki Hilang Ditemukan Lemas Di Kg Rosob, Pitas

KUDAT: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menuju ke bagang tiga hari lalu ditemukan lemas di sekitar Kampung Rosob, Pitas, di sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, lebih kurang 7.30 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat mengenai satu mayat ditemukan terapung oleh pekerja bagang di sekitar kampung tersebut.

“Semua aset yang terlibat dalam pencarian ini segera ke lokasi untuk siasatan dan pengesahan.

“Adik mangsa telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang hilang, Hamlee Sinabil, 50, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tidakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dengan penemuan mayat mangsa ini, Operasi CARILAMAT yang bermula 19 November itu ditamatkan pada jam 9 pagi tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat serta pihak yang membantu sepanjang pencarian mangsa.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan dan salah laku jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24jam.