Lelaki Hilang Dikhuatiri Dibaham Buaya

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di Kampung Sungai Kalabakan, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata,  pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.14 petang tadi.

“Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 89 kilometer dari BBP Tawau.

“Menurut saksi kejadian, mangsa yang dilaporkan hilang adalah lelaki dewasa dianggarkan berumur 20-an,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, mangsa dikhuatiri dibaham haiwan buas berkenaan ketika melakukan riadah di sungai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menerusi pencarian dipermukaan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Sungai Kalabakan dan orang ramai.

“Bagaimanapun, sehingga pukul 6 petang tadi, mangsa masih gagal ditemui sebelum operasi SAR ditangguhkan kerana cuaca gelap,” katanya.

SAR akan disambung semula esok.