Lelaki Hilang Dikhuatiri Dibaham Buaya Di Sungai Kalumpang

Gambar hiasan sahaja.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna, di sini, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Binyojinnul, 36, pada jam 4.43 petang semalam.

“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi menggunakan dua jentera.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan Sungai dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Bagaimanapun, SAR dihentikan jam 7.10 malam tadi selepas mangsa masih belum ditemui.

Difahamkan, operasi SAR diteruskan hari ini dan JBPM menggunakan dua bot bomba untuk meneruskan usaha mencari mangsa.