Lelaki Ditemukan Lemas Di Sungai Kampung Mondikot, Papar

Mangsa ditemui pasukan keselamatan dan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia.

Oleh NORA AHMAD
PAPAR: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Sungai Kampung Mondikot, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Agku Salam berusia 38 tahun ditemukan pada pukul 6.20 petang selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.44 petang.

Menurut jurucakap, saksi memaklumkan sebelum kejadian mangsa cuba membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum laporan dibuat bagi membantu mencari mangsa.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar bersama sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan pacuan empat roda pelbagai guna dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai,” katanya.

Katanya lagi, sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat melakukan SAR dan pencarian turut dilakukan di kawasan permukaan sungai di sepanjang laluan sungai terbabit bersama beberapa agensi dan orang awam.

“Mangsa kemudian ditemukan pada pukul 6.20 petang oleh pasukan penyelamat dan orang awam iaitu 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya yang mengesahkan operasi tamat pukul 9.20 malam.