Lelaki Ditahan Serang Doktor

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menyerang seorang doktor di Balai Polis Bombalai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa, 31, mendakwa ditumbuk suspek, 37, di Klinik Kesihatan Merotai Besar, Jalan Merotai.

Difahamkan, suspek juga bertindak mengugut doktor berkenaan menyebabkan mangsa membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan.

Menurut sumber, terdahulu, adik suspek dikatakan terbabit dalam kemalangan dan dihantar ke klinik berkenaan untuk rawatan.

Suspek dikatakan mendesak untuk rawatan segera dilakukan sehingga menimbulkan perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, polis berjaya menahan suspek di perkarangan balai polis, jam 4 petang tadi.

“Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 April depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Peter turut menafikan satu notis arahan Ketua Polis Negara berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang tular di media sosial, menyebut larangan keluar pada waktu malam.

“Kami sudah meneliti kandungan surat itu dan mendapati ia tidak benar.

“Pihak yang mengeluarkan arahan itu juga sudah dikenal pasti dan disiasat,” katanya.

Tambah Peter, walaupun arahan itu bertujuan menasihatkan orang ramai berkaitan MCO, tetapi ia tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, antara kandungan tersebut adalah tidak membenarkan sebarang aktiviti diluar rumah termasuk atas jalan bermula jam 6 petang sehingga 7 pagi setiap hari sehingga 14 April depan.

Notis yang mengundang kekeliruan itu turut tertera cop Balai Polis dan Ketua Balai Polis Wallace Bay.