Lelaki Ditahan, Langgar Kenderaan JPJ Guna Jengkaut

KENINGAU : Seorang lelaki ditahan polis kerana melanggar kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ menggunakan jengkaut sehingga terbalik dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata lelaki berusia 60 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau, selepas pihaknya
menerima laporan jam 6.32 petang berkenaan kejadian seorang individu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, individu terbabit turut menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Nor Rafidah berkata siasatan awal mendapati ketika menjalankan operasi harian, seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis ‘backhoe’ yang mencurigakan.

Ketika saman hendak dikeluarkan kerana terdapat kesalahan, pemandu jengkaut terbabit tidak berpuas hati dan marah lalu bertindak melanggar kenderaan JPJ yang dinaiki oleh petugas hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan.

Nor Rafidah berkata, petugas JPJ sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis dan suspek ditahan di lokasi kejadian pada hari yang sama.

Polis turut merampas jengkaut yang digunakan ketika kejadian.

Suspek adalah seorang warga tempatan dan rampasan dibawa balik ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Nor Rafidah menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video tular di media sosial yang akan mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, video berdurasi 51 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut, tular di media sosial.