Lelaki Dipercayai Lemas Ketika Mandi-Manda

Oleh SURAIDAH ROSLAN
RANAU: Aktiviti bermandi-manda oleh beberapa sahabat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka hilang dipercayai lemas di Sungai Merugin 2, di sini petang ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 2.40 petang dan sebuah jentera diketuai Penguasa Bomba Kanan  II, Waslie Saupin bersama tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat pemanggil, mangsa dipercayai hilang sejak 12.30 tengah hari.

Katanya, sebaik pasukan bomba tiba dilokasi kejadian, seorang mangsa iaitu lelaki berusia 23 tahun dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.

“Setakat pukul 6 petang tadi, mangsa belum ditemukan,” katanya.

Dalam kes berasingan di Kota Marudu, seorang pemandu van berusia 55 tahun mengalami cedera ringan apabila kenderaan dinaiki terbabas di bahu jalan.

Jurucakap PGO JBPM Sabah berkata, panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu diterima pada 3.47 petang dan sebuah jentera diketuai Penguasa Bomba Kanan II Gabuh Maradan bersama empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, apabila tiba dilokasi kejadian, sebuah van jenis Toyota Hiace didapati terbabas dan lapan mangsa terlibat serta telah dikeluarkan oleh orang awam seterusnya dihantar ke hospital.

“Maklumat mangsa lain yang dibawa ke hospital tidak diperolehi,” katanya.