Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Cuba Seberang Sungai, Sebenarnya Selamat

TAMBUNAN: Seorang lelaki yang sebelum ini dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyeberangi sungai di Kampung Labou-Labou, di sini, sejak pagi semalam, sebenarnya selamat dan telah pulang ke rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Ak [email protected] berkata Helry Junior Michel, 29 tahun yang sebelum ini dicari sepasukan bomba dari BBP Tambunan sejak pagi semalam, disahkan selamat oleh keluarganya dan telah pulang ke rumahnya.

Sehubungan itu, operasi mencari ditamatkan jam 7 pagi tadi.

Sebelum itu, bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.20 pagi semalam daripada pengadu yang memaklumkan lelaki berkenaan dikhuatiri dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai.

Bertindak atas laporan itu, BBP Tambunan mengerahkan sepasukan 9 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian yang terletak 2 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi terpaksa ditangguhkan jam 2.16 pagi selepas keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

Katanya, ketika operasi hendak disambung semula jam 7 pagi tadi, pengadu telah membuat laporan polis memaklumkan lelaki yang dicari itu sebenarnya selamat dan telah pulang ke rumahnya.