Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret, Ryan Sagiran Rayner setelah tertuduh yang merupakan lelaki berusia 42 tahun itu mengaku bersalah kerana memberi maklumat yang tidak sahih.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang lain.
Berikutan itu, Majistret memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan dan akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya selepas selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki warga asing terbabit yang dikenali sebagai Ben didakwa membuat laporan polis palsu di di kaunter pertanyaan Balai Polis Cenderawasih, Lahad Datu pada jam 7.54 malam, 3 Februari lalu.
Laporan itu berkaitan jenayah pendaratan 13 orang memakai pakaian celoreng dan membawa senjata berlaras panjang dipercayai tentera dari Selatan Filipina yang sebenarnya adalah palsu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu, Lim Sze Chuen.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dalam satu kenyataan, berkata, laporan dibuat lelaki terbabit menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di Sabah.
Bagaimanapun, katanya siasatan polis pada 5 Februari lalu mendapati laporan polis itu adalah palsu dan tidak benar, sebaliknya ia dibuat dengan motif untuk mereka-reka cerita kononnya tempat tinggal suspek tidak selamat bagi menarik perhatian pihak keselamatan.
Tindakan suspek juga katanya ada kaitan dengan masalah keluarga dialaminya kerana perkahwinannya tidak direstui oleh ahli keluarga dengan harapan selepas laporan polis itu, tiada lagi gangguan daripada keluarga isterinya.
“Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana agensi penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagaimanapun, setiap maklumat perlu disalurkan dengan penuh tanggungjawab kerana dengan maklumat ‘serong’ seperti ini boleh menimbulkan kegusaran awam termasuk pihak berkuasa,” tegasnya.