Lelaki dicekup ketika geledah pejabat kerajaan di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki dicekup polis Sandakan ketika sedang menggeledah pejabat sebuah jabatan kerajaan di sini hampir tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin berkata polis dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian pecah masuk yang sedang berlaku di pejabat Jabatan Perangkaan di Batu 7 dekat sini.

“Suspek berumur 25 tahun berasal dari Kampung Likas, Kota Kinabalu itu difahamkan turut dikehendaki polis daerah (Beaufort) bagi membantu siasatan ke atas beberapa kes pecah rumah.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau dalam beberapa kes curi, pecah rumah dan dadah di Kota Kinabalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd Azhar, suspek yang didapati positif dadah ketika ditangkap kira-kira 11.45 malam, menyasarkan bangunan pejabat dan kedai hanya untuk mendapatkan wang.

Mengenai prestasi jenayah di Sandakan sepanjang bulan lepas sehingga pertengahan bulan ini, beliau berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes pelbagai jenayah membabitkan jumlah kerugian bernilai RM10,000 dengan rampasan dianggarkan bernilai RM9,200.

Turut ditangkap seramai 12 orang terdiri daripada empat rakyat tempatan dan lapan warga asing berumur 16 hingga 52 tahun dengan 10 daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu, katanya.

Mohd Azhar juga memberitahu polis Sandakan berjaya menangkap 65 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 43 lelaki dan 22 wanita berumur 17 hingga 65 tahun dalam satu operasi bersepadu pukul 3 pagi hingga 7 pagi tadi.

Menurutnya, kesemua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mengenai Op Selamat pada 29 Mei hingga 12 Jun, Mohd Azhar berkata Sandakan mencatat penurunan dalam kes kemalangan jalan raya iaitu 101 kes berbanding 104 kes pada Op Selamat lepas, dan tujuh kes pecah rumah berbanding 12 kes pada operasi terdahulu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis Sandakan telah menahan 35 warga tempatan dan 19 warga asing berumur 20 hingga 54 tahun dalam 10 siri Op Sarang yang dijalankan pada 1 Mei sehingga semalam.

Menurutnya, antara ditahan ialah tiga individu atas kesalahan membekal dadah, tujuh individu kerana memiliki dadah dan selebihnya didapati positif dadah.

Turut dirampas ialah sejumlah 18 gram syabu bernilai RM2,700.

Selain itu, Mohd Azhar berkata polis Sandakan telah menjalankan 44 siri Op Tapis dalam tempoh yang sama dan berjaya menangkap 144 orang atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Polis Sandakan juga telah menghadapkan 30 penagih dadah berulang ke mahkamah sejak Januari hingga bulan ini,” tambahnya.