Lelaki Dan Perempuan Mati Akibat Tidur Dalam Kereta

6101
Di dalam kereta inilah polis menemukan mayat kedua-dua mangsa.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Dua mayat terdiri daripada lelaki dan wanita ditemukan maut di dalam Perodua Kenari di sebuah pusat beli-belah di sini akibat terhidu gas karbon monoksida secara berlebihan.

Kedua-dua mangsa iaitu Hanafi Marlin, 23, dan Marcella Nur Anis Ahmadi, 20, ditemukan pada pukul 3 pagi ini di lot parkir bangunan tersebut.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah, namun tidak diketahui bila tarikh kedua-dua mangsa meninggal dunia.

“Pihak polis telah membuat pemeriksaan dan menemukan sepasang lelaki dan wanita di tempat duduk depan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Marcella Nur Anis – sumber Facebook

“Siasatan polis mendapati kedua-dua kamgsa tertidur dalam kenderaan pada masa dan tarikh yang tidak pasti sehingga dijumpai hari ini, kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pegawai perubatan dari Hospital Likas telah mengesahkan kematian kedua-dua mangsa dan laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat keracunan gas karbon monoksida.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan dengan enjin yang tidak dimatikan atau kenderaan tidak bergerak bagi mengelakkan risiko kematian,” tambahnya.