Lelaki Bunuh Diri Akibat Ketagih Judi, Banyak Berhutang

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUDAT: Seorang pemuda yang ketagihan judi dan dihimpit masalah hutang ditemukan maut dipercayai membunuh diri berhampiran sebuah resort di Tanjung Simpang Mengayau semalam.

Chang Hok Lik, 31, yang berasal dari Perak turut meninggalkan sebuah nota di dalam kenderaan itu yang menyatakan hasratnya untuk membunuh diri dan turut meminta maaf kepada ahli keluarganya.

“Saya minta maaf kepada keluarga dan saudara mara, saya bunuh diri sebab terlampau ketagih bermain judi,” jelas nota tersebut yang dtemukan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak lelaki itu dalam keadaan berbaring di dalam kenderaan tersebut dan tidak sedarkan diri.

Katanya, polis segera ke lokasi kejadian dan siasatan mendapati mangsa maut di dalam Perodua Axia itu akibat lemas terhidu asap arang batu yang dibakar di dalam kenderaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah membunuh diri kerana terdapat satu nota dalam bahasa Mandarin ditulis sendiri oleh mangsa yang menyatakan bahawa mangsa mempunyai banyak beban hutang akibat judi yang menyebabkan dia malu balik ke kampung halaman berhadapan ahli keluarga.

“Mangsa telah berulang kali dinasihatkan oleh ahli keluarga agar tidak terus berjudi dan mengambil jalan singkat sehingga membunuh diri.

“Mangsa turut meninggalkan pesanan kepada adik-beradiknya untuk menjaga ibu bapa mereka setelah pemergiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Firdaus berkata, siasatan mendapati mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Kota Kinabalu datang ke kawasan berkenaan pada tengah malam sebelum mangsa ditemui mati oleh orang awam.

“Siasatan juga mendapati tidak ada unsur jenayah dan barangan milik mangsa seperti dompet dan telefon bimbit miliknya masih ada.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.