Leka Sabung Ayam, Sekumpulan Individu Ditahan Polis

KENINGAU: Leka dengan aktiviti sabung ayam hingga mengabaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam lelaki ditahan dalam kejadian di Kampung Ulu Kikiran, Jalan Apin-Apin, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Shahrudin Mat Husain berkata, kesemua enam individu yang berusia 37 hingga 64 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang semalam. Turut dirampas adalah 18 ekor ayam jantan dan peralatan papan tulis yang digunakan dalam aktiviti perjudian tersebut.

Beliau berkata, siasatan mendapati aktiviti perjudian itu digelar sebagai sabung ayam ‘karate’ dimana, ayam akan dilagakan tanpa menggunakan senjata.

“Polis turut merampas wang tunai sejumlah RM4,457 yang dipercayai hasil wang pertaruhan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015. Siasatan turut dilakukan dibawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Shahrudin berkata, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan.