Leiking Letak Jawatan Jika Terbukti Warisan Beri myKad Kepada PTI

Kepada pembangkang dan orang tidak waras yang merasakan Warisan memberi myKad kepada pendatang tanpa izin, seperti anda, saya juga mahu menyelamatkan Sabah, kata Darell Leiking (baju hitam).

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking berkata beliau akan keluar daripada parti itu sekiranya ada bukti bahawa Warisan memberi kad pengenalan (myKad) kepada pendatang tanpa izin di Sabah.

Sambil menyatakan letih dan bosan dengan tuduhan yang dibuat terhadap parti itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan Warisan tidak melakukan aktiviti seperti itu untuk memberi pengesahan sebagai rakyat negara ini kepada pendatang tanpa izin, justeru, menawarkan bantuannya kepada sesiapa sahaja untuk membebaskan Sabah daripada masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kami tidak pernah beri myKad (kepada pendatang tanpa izin). Warisan mahu membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Kepada penyokong apa jua gabungan (pembangkang) dan orang tidak waras yang merasakan kami (Warisan) memberi myKad kepada pendatang tanpa izin, seperti anda, saya juga mahu menyelamatkan Sabah.

“Saya mahu membantu Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan karnival kerjaya dan pendidikan di sini hari ini (Ahad).

DARELL LEIKING

Leiking, yang juga Anggota Parlimen Penampang, mengakui bahawa beliau kecewa dengan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadap parti itu, tambahan pula mereka yang begitu aktif dalam menyalahkan Warisan adalah daripada komuniti Kadazandusun beliau sendiri.

“Mereka (Kadazandusun) berulangkali menyatakannya (menyalahkan Warisan) seolah-olah kami melakukan sesuatu yang memusnahkan komuniti kami. Ia memang bodoh.

“Jika anda ada bukti (bahawa Warisan memberi myKad kepada pendatang asing), saya mahu bekerjasama dengan anda. Saya akan jadi orang pertama untuk berganding bahu bersama anda sebab nampaknya anda ada bukti,” katanya.

Leiking berkata kerajaan baharu sedang berusaha untuk memperbetulkan masalah itu yang didakwanya diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini dan menggesa orang ramai supaya tidak menyerang Warisan kerana kesalahan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan kritikan sekiranya kerajaan baharu gagal melaksanakan janjinya untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Hentam kami (kerajaan baharu) atas kegagalan kami untuk melaksanakan tugas kami. Hentam kami atas kegagalan kami untuk membawa kebaikan kepada Sabah.

“Tetapi janganlah hentam kami dengan pembohongan sebab penduduk Sabah mesti berhenti daripada berfikir seperti itu. Kita lebih baik daripada itu,” katanya.