Lebih Ramai Pemimpin DAP Pulau Pinang Dijangka Sertai Warisan – Jeff Ooi

Jeff Ooi (tengah)

GEORGETOWN : Lebih ramai pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Warisan.

Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik, Jeff Ooi berkata penyertaannya dan bekas ADUN Batu Lanchang, Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

Bercakap dalam sidang media di sebuah hotel di Jalan Macalister, di sini, hari ini, Ooi berkata tokoh politik, ahli korporat serta golongan profesional juga dijangka menyertai Warisan selepas ini.

“Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelusuk landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda,” katanya.

Selain itu katanya, Warisan Pulau Pinang akan menumpukan usaha menarik golongan muda selaras dengan syarat yang ditetapkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar tidak kurang daripada 50 peratus keahlian parti adalah dari golongan muda.

Dalam sidang media itu, Ooi yang juga bekas ahli parlimen Jelutong selama dua penggal, turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP, Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang.

Lim menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang.

Manakala Law yang mengumumkan keluar DAP pada 18 Januari lalu setelah menyertai parti itu selama 35, tahun pernah memegang jawatan Exco Pelancongan Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini.

Ditanya mengapa dia memilih Warisan, Ooi berkata dia tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan parti itu.

Selain itu, tindakannya menyertai Warisan didorong perkembangan politik semasa.

“Negara sudah hilang kemantapan politik. Selain itu, sejak Pakatan Harapan (PH) jatuh, kita juga tak nampak arah tuju, tak jelas antara komponen parti, baik PH mahu pun Perikatan Nasional (PN). Untuk balik semula kepada PH mungkin susah sebab kami seperti tidak diberi ruang dan peluang untuk bergerak atau memberi sumbangan terhadap perubahan politik negara,” katanya.

Mengenai hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Ooi berkata Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan Kerajaan Pusat dengan Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) memainkan peranan penting dan kritikal.