Lebih Daripada 30 Entiti Beroperasi Di Labuan IBFC Sejak Tahun Lepas

46

LABUAN: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menarik lebih daripada 30 entiti yang berkaitan dengan teknologi kewangan (fintech) untuk menjalankan aktiviti perkhidmatan kewangan inovatif (IFS) sejak tahun lepas.

Entiti-entiti ini terlibat dalam perniagaan perbankan digital, perniagaan teknologi insurans (insurtech), robo-khidmat nasihat, pertukaran, pembrokeran wang, perkhidmatan token kredit/wang kripto dan sistem pembayaran, kata Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Danial Mah Abdullah.

Menurutnya, Labuan FSA turut memanfaatkan teknologi digital.

“Kami telah memberi lesen kepada sejumlah pemain, daripada bank digital sehinggalah kepada broker wang yang menawarkan wang kripto dan mekanisme dagangan platform dan pertukaran,” katanya selepas pelancaran ‘Go Digital Day’ di pejabat Labuan FSA, di sini hari ini.

Danial berkata dengan peningkatan bilangan entiti yang berkaitan fintech di IBFC, infrastruktur telekomunikasi (penembusan dan kelajuan Internet) telah bertambah baik dengan ketara.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi sangat proaktif, mendengar keperluan kita demi kepentingan Labuan IBFC,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Corporation Dr Fary Akmal Osman berkata agensi itu bekerjasama rapat dengan Labuan FSA dalam bidang teknologi digital dengan melengkapkan perusahaan kecil dan sederhana dengan teknologi, kemahiran dan pengetahuan digital yang diperlukan.

“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memperkasakan PKS kami dengan teknologi digital supaya mereka boleh mempromosikan produk secara meluas menerusi teknologi digital yang canggih,” katanya.

Labuan FSA menganjurkan Hari ‘Go Digital’ sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan ekosistem IFS Labuan IBFC, ia telah membawa kepada peningkatan trend dalam kemasukan pemain baharu dengan lebih banyak penawaran.

Lima entiti yang dilesenkan oleh Labuan FSA untuk menjalankan IFS dalam bidang kuasa tersebut turut hadir di Hari Labuan IBFC ‘Digital Go’ tersebut bagi mempamerkan dan melakukan demonstrasi produk dan perkhidmatan digital mereka.

Pegawai daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga menyampaikan ceramah mengenai landskap fintech di Malaysia dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Acara yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih daripada 200 pemain industri Labuan IBFC bertujuan untuk mempromosikan pertumbuhan dan kepelbagaian dalam ekosistem dalam bidang kuasa IFS dan berperanan sebagai platform untuk inovator, pembekal perkhidmatan kewangan dan syarikat pemula niaga fintech untuk menumpu dan memajukan inovasi yang lebih besar dalam perkhidmatan kewangan melalui penggunaan teknologi.