Lebih 6,000 Sampel Ujian COVID-19 Dilabuan Masih Tunggu Keputusan

LABUAN: Daripada sejumlah 10,886 sampel yang diambil daripada individu yang kembali ke Labuan bagi ujian calit tekak dan Tindak Balas Rantai Polimerase (PRC) COVID-19 antara 26 Sept dan4 Okt melalui tiga pintu masuk iaitu Lapangan Terbang Labuan dan dua terminal feri, lebih 6,000 orang masih menunggu keputusan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata sampel yang diambil di Klinik Kesihatan Membedai telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh di Semenanjung bagi membantu mempercepat keputusan yang akan diumumkan paling awal minggu depan.

Peningkatan mendadak jumlah sampel itu adalah susulan kepulangan penduduk Sabah yang menetap dan bekerja di Labuan selepas pilihan raya negeri bulan lepas serta arahan bahawa mereka perlu menjalani ujian tersebut

“Kami memahami perasaan mereka yang sedang berdebar-debar menunggu keputusan ujian itu… kami sedang melakukan segala yang termampu untuk mempercepatkannya… kami terpaksa telah menghantarnya ke makmal Hospital Sungai Buloh bukannya ke makmal di Kota Kinabalu kerana sampel baharu dan sedia ada semakin bertambah.

“Kami harap ramalan kami salah namun kami menjangkakan sekurang-kurangnya satu peratus daripada lebih 6, 000 sampel itu akan diuji positif, kami perlu bersiap sedia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pada Isnin, jalan raya menuju Klinik Kesihatan Membedai sesak seawal 8 pagi apabila lebih 1,000 orang bergegas ke klinik tersebut bagi menjalani ujian COVID-19.

“Kami telah merekodkan sejumlah 1, 372 orang dari pagi sehinggga 3 petang Isnin dan daripada jumlah itu, 841 dikeluarkan arahan agar menjalani kuarantin di rumah manakala bakinya dilepaskan daripada berbuat demikian,” katanya.

Ismuni berkata pihaknya telah mewujudkan satu e-mel [email protected] dan nombor aplikasi WhatsApp 011-1401 0988 (berikan nama dan no kad pengenalan/pasport) untuk mereka yang menjalani kuarantin di rumah bagi mengetahui keputusan ujian mereka secara dalam talian.

“Memandangkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) telah menerima sejumlah 300 hingga 500 panggilan sehari kebanyakannya mengenai keputusan COVID-19, e-mel dan WhatsApp tersebut boleh membantu mempercepatkan proses itu,” katanya.

Setakat hari ini, Labuan mempunyai 38 kes COVID-19 dengan masing-masing lima dan empat kes bahary direkodkan (dalam kalangan individu yang pulang ke Sabah) pada Ahad dan semalam.