Lebih 600 Orang Sertai Larian Amal Taman Burung Labuan Ke-3

LABUAN: Program Larian Amal Taman Burung Labuan 2019 kali ketiga menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara termasuk dari Kenya, Brunei, Thailand dan Filipina menyertai acara itu di Taman Burung di sini hari ini.

Acara larian 11 kilometer itu yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan dilepaskan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Veterinar) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Marzuki Zakaria dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail pada 6.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie berkata antara cabaran yang perlu dilakukan peserta semasa larian ialah perlu meredah laluan menaiki dan menuruni bukit.

“Jumlah peserta tahun ini sangat menggalakkan dengan peningkatan 20 peratus berbanding tahun lepas. Kami juga ingin menganjurkan lagi acara sama tahun hadapan berdasarkan sokongan dan galakan yang diterima daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM3,180 sumbangan daripada yuran penyertaan berjaya dikumpul pada program itu yang bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, kakitangan sektor awam dan swasta.

Sumbangan itu akan disalurkan kepada organisasi Dana Taman Burung, katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Guianus Salagan dan Kona Liaw mendominasi kategori lelaki dan wanita veteran apabila mencatatkan masa 1:20:01 dan 1:54:35 manakala peserta dari Kenya, Viola Jepchirchir Kimely muncul juara kategori wanita dan Salfree Sabdin dari Penampang, Sabah memenangi acara kategori lelaki.