Lebih 500,000 Penduduk Telah Dibanci Di Sabah – Jabatan Perangkaan

KOTA KINABALU: Seramai 503,000 penduduk telah dibanci di negeri ini sehingga hari ini yang jumlah itu merangkumi kira-kira 12.9 peratus daripada anggaran penduduk di Sabah, kata  Pengarah Jabatan Perangkaan Sabah Zainol Jamil.

Beliau berkata dianggarkan penduduk di Sabah pada tahun lepas (2020) adalah berjumlah 3.91 juta orang termasuk lebih sejuta penduduk bukan warganegara.

Katanya proses banci kali ini dilaksanakan dengan pelbagai cara iaitu melalui e-Census atau secara dalam talian yang menyumbang 59.1 peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk yang telah dibanci, manakala 40.9 peratus lagi maklumat diperoleh secara bersemuka dan telefon.

“Kota Kinabalu mencatatkan penduduk paling ramai dibanci iaitu 100,862 orang mewakili 18 peratus  penduduk, Tawau 16.5 peratus (76,342 orang) dan Sandakan 14.3 peratus (71,533 orang),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan kes baharu COVID-19 telah memberi kesan kepada perlaksanaan Banci Fasa 2 secara bersemuka, justeru fasa itu telah dijadual semula di negeri ini dan proses banci bersemuka dilaksanakan secara bersasar.

Sehubungan itu, Zainol berkata pembanci diminta untuk menemuduga responden di kediaman seluruh Sabah bermula 18 Feb hingga 16 Mei ini.

“Setiap Pembanci ini dibekalkan Kad Pengenalan Diri Pembanci dan peralatan banci mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya cecair pencuci tangan dan pelitup muka bagi memastikan tugasan dilaksanakan mengikut SOP tersebut.

“Proses pengumpulan data banci ini tidak bertujuan untuk program vaksinasi COVID-19 mahupun seumpamanya. Sehubungan itu, orang ramai dimohon untuk memberikan kerjasama kepada petugas banci yang sedang menjalankan pungutan data di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata maklumat yang dikumpul adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Banci 1960  (Disemak 1969) yang menerangkan data yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana pihak.

Maklumat lanjut mengenai banci ini boleh diperoleh secara berhubung dengan Jabatan Perangkaan Sabah di talian 088-307600 atau layari www.dosm.gov.my serta di aplikasi facebook DOSM Sabah, www.facebook/DOSM Sabah.