Lebih 5,000 Hadiri Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 di Tawau

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Semua pemimpin dan wakil masyarakat yang diberi mandat oleh rakyat perlu memajukan kawasan masing-masing dalam usaha memenuhi aspirasi negara untuk menjadi negara maju.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, pemimpin juga perlu mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh intergriti.

“Sepanjang 2019, kita sudah melaksanakan agenda yang ditetapkan.

“Dalam masa sama kita juga mengenal pasti, mengkaji dan memperbaiki kelemahan yang ada untuk dijadikan panduan berterusan pada masa akan datang,” katanya menerusi ucapan perasmian yang dibacakan wakilnya, Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Rakyat P190 Tawau Samsuri Baharuddin.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal.

Dalam masa sama, Christina memaklumkan pihaknya sedia maklum akan keluhan rakyat daerah ini terutamanya membabitkan isu bekalan air dan elektrik.

“Sebagai pemimpin, sudah tentu kami melihat dua isu ini sebagai keutamaan agar setiap kekurangan dapat diatasi sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, lebih 3,000 orang membanjiri Dataran MPT bagi merasai sendiri kemeriahan Sambutan Ambang Tahun Baru 2020, di sini malam tadi.

Orang ramai mula dilihat membanjiri kawasan tersebut seawal pukul 6.30 petang menyaksikan jalan raya yang menuju ke arah bandar mengalami kesesakan lebih awal dari biasa.

Beberapa persembahan menarik turut diadakan sepanjang program tersebut termasuk tarian tradisional, tarian moden, biola dan nyanyian artis tempatan.

Dalam masa sama Samsuri turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada Madrasah Al-Ubudiyyah Wal Mas Ullyyah.