Lebih 50 orang hilang tempat tinggal dalam dua kejadian kebakaran

265
Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kg Cenderamata Laut, Sandakan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 buah rumah musnah dalam dua kejadian kebakaran berasingan di Keningau dan Sandakan, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian di Kampung Cenderamata Laut, Sandakan, tujuh buah rumah di kawasan seluas satu ekar musnah dalam kebakaran yang berlaku pada pagi Ahad.

Kejadian yang berlaku pada 9 pagi itu mengakibatkan 54 orang hilang tempat tinggal.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada 9.09pagi.

Sebanyak tiga buah jentera dan sebuah EMRS bersama 18 orang anggota yang diketuai Penguasa Bomba Sandakan Andre Andrew bergegas ke lokasi. Turut membantu dalam operasi pemadaman itu adalah polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Kebakaran rumah dan kenderaan di Kg Kauran, Keningau.

Dalam kejadian di Kampung Kauran, Keningau, tiga buah rumah serta sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 7 pagi Ahad.

PGO JBPM menerima laporan mengenai insiden kebakaran itu pada 6.59 pagi dan dua buah jentera serta sebuah EMRS dengan 30 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Kedua-dua kejadian kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kematian.