Lebih 40 Tahun Tinggalkan Arena Politik, Abdul Ghani Tetap Diingati

KOTA KINABALU:Meskipun telah bersara lebih 40 dekad dalam arena politik, namun ingatan seorang penduduk kampung, Ahmad Shah Naing terhadap Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Gilong masih segar.

Ahmad Shah, 64, berkata ketika itu beliau berusia dalam lingkungan antara tujuh dan lapan tahun, Abdul Ghani hanya berjalan kaki untuk masuk ke kawasan kampungnya di Perancangan, Ranau.

“Sepanjang ingatan saya, dia (Abdul Ghani) sanggup jalan kaki dari Pekan Ranau kalau berkempen memang meredah hutan, turun naik bukit, menyeberangi sungai demi untuk berkempen dan melihat kawasan kampung yang ketika itu sangat daif,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ahmad Shah, ketika itu Parlimen Kinabalu hanya mempunyai satu Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Ranau tetapi kini nama Ranau bertukar kepada sebuah kawasan Parlimen dan DUN Ranau kini dikenali sebagai DUN Kundasang.

Beliau berkata Abdul Ghani ketika itu berkempen di kawasan kampungnya kerana berada dalam kawasan DUN Ranau semasa Pilihan Raya Umum yang pertama diadakan pada 1964.

“Pernah juga ‘kupi-kupi’ (minum kopi) dengan arwah selepas  bersara daripada politik tetapi tiada cerita pasal politik hanya bercerita pasal kebun sahaja,” katanya sambil memberitahu ramai yang seangkatan dengan arwah sudah meninggal dunia.

Abdul Ghani, 88, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.12 tengah malam tadi di Hospital Queen Elizabeth di sini kerana sakit tua.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh cucu perempuannya menerusi laman Facebooknya Cheri Gilong Avriett.

Beberapa pemimpin negeri juga turut menzahirkan ucapan takziah antaranya Menteri Kewangan II Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.