Lebih 2,000 Keluarga Di KM Bakal Peroleh Hak Milik Tanah Adat Anak Negeri

KOTA MARUDU: Lebih 2,000 keluarga di Kota Marudu akan menerima manfaat daripada program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) kerajaan negeri Sabah yang melaksanakan kerja ukur tanah untuk hak milik geran komunal di sembilan kampung, di sini.

Maximus Ongkili

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa mendedahkan perkara ini berkata sejumlah 2,299 lot tanah telah diwujudkan di atas tanah seluas 6,000 hektar, yang mana setiap keluarga akan diperuntukkan tanah dengan keluasan maksimum 15 hektar.

Beliau berkata program dengan peruntukan RM20 juta setahun itu untuk Sabah adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan, menerusi Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan beliau sendiri melalui Jawatankuasa Penyelaras Program Tinjauan Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR).

“Program ini dilancarkan untuk membantu kerajaan negeri mengukur tanah hak adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun jika dilaksanakan oleh kerajaan negeri kerana kekurangan peruntukan bagi tujuan itu,” katanya.

Ongkili berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat bersama Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi dan ketua-ketua kampung dari kawasan yang terlibat di sini hari ini.

Ongkili menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan menerusi Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak akan terus menyokong dan menyelaras pelaksanaan pengukuran tanah bagi pengeluaran geran komunal di Malaysia Timur.

Beliau berkata pengeluaran geran komunal adalah salah satu pendekatan diambil Sabah untuk menyelesaikan isu tuntutan tanah hak adat anak negeri.