Lebih 2,000 Kekosongan Jawatan Pasukan Polis Bantuan – Omar

212

LABUAN: Lebih 2,300 kekosongan jawatan dari peringkat konstabel hingga ke superintendan dalam perjawatan polis bantuan belum diisi di Sabah mengikut statistik terbaharu yang diumumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata sejumlah 5, 172 jawatan polis bantuan telah diluluskan oleh Ketua Polis Negara (IGP) kepada 40 agensi di Sabah, menurut laporan Bernama.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 2,800 telah disisi dan baki hampir 50 peratus masih kosong,” katanya pada sidang media selepas menutup “Seminar on Enhancing the Sabah Auxiliary Policemen Services and Agencies Chief Conference di sini.

Omar menggesa agensi dan organisasi berkaitan yang mendapat kelulusan bagi pasukan polis bantuan untuk mengisi kekosongan jawatan yang masih ada dan terus melaksanakan kenaikan pangkat atau jawatan kakitangan dalam struktur hierarki terutama bagi mereka yang telah berkhidmat untuk tempoh yang lama.

Beliau juga mengingatkan anggota polis bantuan untuk terus menjaga reputasi dan imej Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dan menghindari daripada terlibat dalam sebarang unsur-unsur gejala sosial, kesalahan dadah dan aktiviti jenayah.

“Dalam era ledakan teknologi, khidmat pasukan polis menjadi begitu kompleks kerana rakyat secara amnya semakin kritikal dan sensitif dan oleh itu, anggota polis dikehendaki mengamalkan pendekatan berhati-hati dalam menjalankan tugas.

“Orang ramai kini terdedah kepada pelbagai undang-undang dan peraturan dan mereka semakin berpengetahuan dan dapat mengesan dengan cepat jika mendapati ada sebarang unsur kesalahan seperti pelanggaran standard prosedur oleh anggota polis,” katanya.

Oleh itu, Omar mengingatkan bahawa kesilapan dan kelemahan kecil sama ada secara sengaja atau tidak sengaja oleh anggota polis berpotensi menimbulkan kritikan di platform media sosial secara terbuka.

“Tidak dapat dinafikan, fenomena ini sering berlaku dan dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk mencari kesalahan kita dan sengaja cuba menimbulkan provokasi.

Justeru, beliau menasihati anggota polis untuk terus meningkatkan integriti, disiplin dan pengetahuan mengenai undang-undang, peraturan dan SOP dalam menjalankan tugas.