Lebih 1,000 Guru, 182 Warga Emas Di Labuan Terima Dos Pertama Vaksin COVID

LABUAN: Lebih 1,000 guru bersama 182 warga emas di sini dijadualkan mendapat dos pertama vaksin mereka di bawah fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula di seluruh negara hari ini.

Pemberian vaksinasi itu diadakan di dua pusat vaksinasi utama di sini iaitu Klinik Kesihatan Membedai dan Dewan Serbaguna Labuan Corporation dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata 10 saluran, lima untuk lelaki dan lima untuk wanita, telah dibuka di dewan serbaguna untuk menerima kumpulan pertama yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang-orang rentan dengan masalah morbiditi serta orang kurang upaya (OKU).

“Kami telah membuat perancangan awal bagi fasa kedua program imunisasi ini untuk mengelak tempoh menunggu dan kesesakan yang tidak perlu.

“Warga emas, terutama dengan masalah morbiditi, akan datang lebih awal dan tidak akan dibenarkan bergaul dengan penerima di bawah usia 60 tahun,” katanya kepada Bernama di pusat vaksinasi dewan serbaguna itu.

Dr Ismuni berkata pusat vaksinasi dewan serbaguna itu mampu memberi suntikan kepada 680 individu setiap hari.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 70 pesakit berusia yang menjalani dialisis dan rawatan untuk penyakit lain di Hospital Nukleus Labuan akan menerima suntikan vaksin berkenaan di katil hospital mereka.

Dr Ismuni menasihati mereka yang belum menerima janji temu untuk vaksinasi melalui MySejahtera supaya menyemak profil di aplikasi tersebut.

“Mereka yang telah mendaftar untuk vaksinasi akan menerima janji temu mereka, pegawai kami bekerja sepanjang masa,” katanya.

Labuan adalah antara yang terawal melaksanakan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Ia bermula pada 27 Feb, sehari selepas penerimaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dari Kota Kinabalu melalui Terminal Feri Labuan.