LDP Perlu Hentikan Taktik Politik Lapuk

140
PHILIP TSEN

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) diingatkan agar memberi tumpuan dalam menjaga kebajikan rakyat dan berhenti membuat tuduhan tidak berasas terhadap Ahli Parlimen (MP) Batu Sapi.

Pegawai Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Batu Sapi yang juga Bekas Setiausaha Eksekutif LDP Philip Tsen memberi peringatan itu kepada Presiden LDP Datuk Chin Su Phin yang tidak putus-putus melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap MP Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap Liew selaku mantan Presiden LDP (2006-2013) itu sudah berkali-kali ditepis kerana rekod transaksi dalam parti terbukti diaudit dan diluluskan semua perwakilan LDP sepanjang kepimpinannya.

Philip berkata, pada Selasa, Chin sekali lagi membuat tuduhan yang sama terhadap Liew yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) serta Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Tindakan itu memperlihatkan LDP hanya mampu mengitar semula cerita-cerita dongeng yang tidak berasas.

“Pemimpin LDP kena sedar parti itu tidak lagi relevan dalam politik negeri Sabah. Oleh itu, adalah lebih baik LDP memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat Sabah dan bukan mencari publisiti murahan dengan taktik politik lapuk.

“LDP akan terus hilang kepercayaan rakyat Sabah, seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana semua calonnya telah kalah,” jelasnya.

Pada 16 Julai, Chin mendakwa Liew menerima dana berjumlah RM3.5juta melalui parti untuk kegunaan peribadi.

“Sepanjang pengetahuan saya wang RM3.5juta itu digunakan bagi pentadbiran parti serta kos aktiviti parti. Malah ia digunakan untuk Pilihan Raya Umum pada 2013 dan bukannya digunakan sendiri oleh Liew seperti didakwa,” kata Philip.