LCCC MINTA PUSAT HIBURAN, SALUN RAMBUT LABUAN DIBENARKAN BEROPERASI

LABUAN: Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) hari ini meminta kerajaan Pusat untuk membenarkan pusat hiburan dan salun rambut di sini beroperasi semula dengan penguatkuasaan langkah lebih ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya, Datuk Wong Kii Yii hampir kesemua daripada lebih 50 pusat hiburan dan salun rambut di wilayah bebas cukai itu bimbang terpaksa menutup terus perniagaan sejak PKP dilaksanakan.

“Kami merayu kerajaan untuk meneliti semula nasib dan keadaan pengendali pusat hiburan itu. Ada di antara mereka yang mungkin terpaksa menutup operasi kerana dibebani tunggakan bayaran sewa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, pengendali kelab malam yang menggaji ramai pekerja itu sememangnya terjejas dengan penutupan sementara tersebut kerana tidak layak menikmati insentif selain diburu oleh pemilik bangunan kerana gagal melunaskan tunggakan sewa.

Malah, katanya, pengendali pusat hiburan dan salun dandanan rambut itu juga sanggup mematuhi prosedur operasi standad (SOP) lebih ketat seperti penjarakan sosial asalkan dibenarkan beroperasi semula.

“Bukan semua pemilik tanah komersial ini memberi kelonggaran bayaran sewa. Namun jika terus tidak mendapat bantuan atau sokongan, pengendali terbabit mungkin perlu memulakan langkah pemberhentian pekerja pada minggu ini.

“Apa lebih penting sekarang adalah mata pencarian pekerja kerana ada yang telah berkhidmat lebih sedekad lamanya,” katanya.

Wong berkata walaupun Wilayah Persekutuan Labuan berstatus pusat perniagaan dan kewangan, realitinya keadaan di pulau itu kini lebih kepada usaha untuk meneruskan kelangsungan.

“Oleh itu, premis pusat hiburan di Labuan perlu diberi sedikit kelonggaran kerana ia turut disahkan sebagai Zon Hijau COVID-19,” katanya.