Lawatan Mobile Team Buat Verifikasi Ke Atas Senarai E-Kasih

116
Ewon (kanan) dan Pegawai Kebajikan Kota Belud Madius Surag ketika melawat rumah Asna Mosubbing (kiri), di Kg.Kiau Nuluh

KOTA BELUD: Kerajaan Negeri bersetuju mengekalkan mekanisme sedia ada bagi memproses permohonan bantuan keluarga isi rumah miskin yang termasuk dalam sistem e-Kasih.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkataq mekanisme tersebut termasuk lawatan Mobile Team yang diwujudkan di semua pejabat daerah bagi membuat verifikasi ke atas permohonan-permohonan yang diterima sebelum diangkat ke mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Daerah.

“Kerajaan Negeri bersetuju terdapat keperluan mengkaji semula senarai keluarga isi rumah miskin yang ada di dalam pangkalan data sistem e-Kasih. Perkara ini sedang diambil tindakan.

Ewon bersama rombongan Mobile Team Pejabat Daerah Kota Belud ketika melawat rumah Jemis Chong (dua dari kiri) di Kg. Kiau Taburi.

“Bagaimanapun, bagi permohonan baru, mobile team pejabat daerah yang merangkumi pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan harus membuat lawatan verifikasi ke rumah isi rumah pemohon samada mereka benar-benar layak untuk dimasukkan dalam senarai e-Kasih dan juga menentukan jenis bantuan kerajaan yang boleh diberikan sekiranya mereka diperakukan layak didaftarkan dalam e-Kasih. Ini bagi memastikan program bantuan rakyat termiskin sampai kepada golongan sasaran yang betul,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian semasa menyertai Mobile Team Pejabat Daerah Kota Belud melawat sepuluh keluarga isi rumah, iaitu tujuh di DUN Kadamaian dan tiga di DUN Usukan pada Rabu (hari ini).

Beliau juga menggesa agar Pegawai Daerah sendiri mengetuai lawatan verifikasi mobile team tersebut dan mengalu-alukan penyertaan Wakil-Wakil Kerajaan semasa lawatan dibuat di kawasan masing-masing.

Ewon bersama Diyanah menyampaikan sumbangan hamper kepada Anita Simpat.

Sebanyak 21 keluarga isi rumah di daerah Kota Belud terlibat dalam program verifikasi tersebut di mana sebahagiannya dilawati pada Isnin.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam lawatan tersebut ialah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Kemas, Risda, Jabatan Kesihatan, Giat Mara, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian dan KPLB Sabah.

“Secara peribadi, lawatan sebegini juga memberikan saya peluang untuk melihat sendiri permasalahan dan keadaan sebenar setiap keluarga isi rumah miskin yang terlibat. Saya akui isu kemiskinan masih merupakan isu besar yang perlu ditangani oleh Kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempunyai tanggungjawab besar mengangkat keperluan penyelesaian kepada isu ini.

Ewon (empat dari kiri) dan Diyanah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang peserta e-kasih di Kampung Melangkap Tomis.

“Kita boleh menggunakan hasil lawatan ini bagi memperkasakan dasar dan program sedia ada dan memulakan inisiatif-inisiatif baru yang bersesuaian untuk membantu keluarga isi rumah miskin ini. Saya akan terus memperjuangkan supaya peruntukan yang lebih besar disediakan bagi program pembasmian kemiskinan,” katanya.

Ewon juga merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Kota Belud, Hajah Diyanah Abdullah dan kesemua pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi yang berkongsi keprihatinan mahu membela nasib keluarga miskin ini.

Dalam lawatan tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints, pejabat daerah menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur kepada semua keluarga isi rumah yang terlibat.