Latihan Asas Keselamatan Penting Kepada Pengusaha Eko Pelancongan

Latihan menyelamat jika berlaku kecemasan semasa pelancong melakukan aktiviti sungai.

KOTA BELUD: Sebanyak 32 peserta terdiri daripada pengusaha eko-pelancongan berjaya menamatkan Kursus Latihan Asas Keselamatan Bagi Aktiviti Sungai, di Kadamaian, di sini pada Ahad.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (Motac) Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, program anjuran bersama Motac dan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) pada 13-14 Julai itu dilihat akan membantu pengusaha pelancongan di luar bandar melengkapkan diri dengan kemahiran asas keselamatan aktiviti sungai.

Antara peserta yang menjalani latihan menyeberangi sungai menggunakan tali.

“Ini akan memberi pendedahan kepada pengusaha tentanf kepentingan aspek keselamatan pelancong.

“Menerusi kursus sebegini, pengusaha dapat menikai risiko produk pelancongan yang mereka tawarkan sekaligus dapat mengelakkan insiden kemalangan yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Presiden KATA Walter Handaian,54, penganjuran kursus sebegitu penting kepada pengusaha pelancongan sepertinya yang banyak bergantung kepada aktiviti sungai.

Peserta menjalani latihan keselamatan semasa kursus berkenaan.

Katanya, modul kursus juga banyak membantu pengusaha mengetahui asas-asas keselamatan seperti cara-cara menyelam dan menyelamatkan mangsa ketika berlaku kecemasan.

Arus sungai ketika kursus berlangsung dikategorikan sebagai tahap empat.