Larian LLPM Antarabangsa 2019 Lebihi Jumlah Jangkaan Peserta

114

LABUAN: Larian julung kali, Larian Ulang Tahun Ke-20 LLPM yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM100, 000 mendapat sambutan membanggakan dengan penyertaan seramai 1, 200 atlit sukan lasak dalam dan luar negara.

Selain pelari-pelari dari inter-Borneo Labuan, Sabah dan Sarawak, penyertaan dari Kenya, Morocco, Algeria, Filipina dan Brunei turut direkodkan untuk larian 20km (Race Run) dan 5km Fun Run ini.

Penaung larian ini, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata penyertaan mereka ini membantu memartabatkan sukan larian di pulau bebas cukai Labuan.

“Sesungguhnya, pihak kami tidak menyangka jumlah peserta meningkat setiap hari bermula kempen pendaftaran bulan lepas dan kini telah mencecah 1, 200 peserta,” katanya pada sidang akhbar di Desa Tunas Hijau hari ini, venue larian berkenaan.

Terdahulu, Alias bersama penaung bersama Datin Seri Norsiah Abdullah menyempurnakan majlis penyerahan baju larian kepada 10 peserta terpilih.

Beliau juga berkata, larian yang hanya pada awalnya dijangka hanya mampu memperoleh seramai 300 pelari berikutan pertindihan program-program larian di Sabah dan telah melebihi sasaran menunjukkan perlunya sukan larian ini dipergiatkan dalam membantu usaha kerajaan mewujudkan masyarakat sihat.

Larian yang akan diadakan pada 25 Ogos ini adalah satu sumbangan khidmat korporat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (Operator Pelabuhan Labuan) yang beliau sendiri sebagai pengerusi eksekutifnya.

Larian ini adalah program larian terbesar dengan penyertaan teramai dan menawarkan hadiah tertinggi dalam sejarah sukan larian di Labuan dengan hadiah pertama berjumlah RM2, 000, tempat kedua RM1, 500, RM1, 000 tempat ketiga dan saguhati untuk 10 pelari teratas (top 10 runner) dalam empat kategori,- lelaki dan wanita terbuka, veteran lelaki dan wanita terbuka.

Hadiah-hadiah cabutan bertuah turut disediakan dengan hadiah ‘grand’ merupakan sebuah motorsikal Harley-Davidson.

Larian ini diselaraskan oleh JHK Events dan menurut pengasasnya Jamil Kario larian dengan jumlah penyertaan tinggi ini adalah satu cabaran kepada mereka.

“Namun persiapan telah dibuat awal bagi memastikan larian ini berjalan lancar disamping bantuan agensi-agensi keselamatan kerajaan,” katanya.