Larangan Rentas Daerah Sabah Dilaksana Semula 27 Mei

KOTA KINABALU: Sabah akan melaksanakan semula larangan rentas daerah bermula 27 Mei hingga 3 Jun ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata sepanjang larangan rentas daerah itu hanya pergerakan penduduk antara daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dibenarkan, manakala penduduk lain kekal dalam daerah masing-masing.

“Dalam tempoh tersebut PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melaksanakan sekatan jalan raya, pengguna jalan raya yang diberi permit oleh PDRM atau dokumen sah kebenaran merentas daerah sahaja akan diberi kebenaran meneruskan perjalanan ke daerah yang hendak dituju.

“Tujuan larangan rentas daerah adalah untuk mengawal pergerakan individu dan mengurangkan kontak fizikal bagi membendung penularan COVID-19 di Sabah dan penduduk diminta tidak mencuba nasib merentas daerah kerana akan diarah berpatah balik,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Sehubungan itu, katanya, Sabah akan melaksanakan kembali kepada larangan rentas zon bermula esok seperti dijadualkan setelah larangan rentas daerah dikuatkuasakan sebelum ini bermula Isnin lepas (10 Mei) tamat hari ini.

Sabah menguatkuasakan larangan rentas zon mengikut enam zon daerah ditetapkan iaitu Zon 1 ialah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar, manakala Zon 2 ialah Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Zon 3 membabitkan Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4 ialah Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 ialah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan serta Zon 6 ialah Keningau, Tambunan dan Tenom, yang mana penduduk dibenarkan merentas daerah dalam zon ditetapkan itu.

Sementara itu, Masidi berkata satu kluster COVID-19 baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Jalan Menteri melibatkan tujuh kes di Penampang dan dua kes di Kota Kinabalu.

Kes indeks merupakan suri rumah wanita, 48, yang disahkan positif melalui ujian saringan pada 10 Mei selepas mengalami gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk rawatan.

“Saringan kontak rapat yang dijalankan oleh pasukan kawalan kemudian mengesan lapan kes positif COVID-19…berdasarkan siasatan awal kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri mesyuarat keagamaan pada 28 April dan 5 Mei lepas di Jalan Menteri (di sini),” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif 59,349 kes.