Larangan Pergerakan: Pelajar Sarawak di Semenanjung disaran jangan balik

Pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung tidak disarankan untuk balik ke negeri itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini sehingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, kata Menteri Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata bagi pelajar yang tiada tempat kediaman, buat sementara waktu mereka boleh menghubungi wakil pelajar di setiap institusi untuk menjelaskan permasalahan yang dihadapi.

“Ramai yang keliru dengan arahan yang dikeluarkan dan beranggapan setiap pelajar perlu mengosongkan tempat kediaman atau asrama. Memang pelajar Sarawak dibenarkan kembali namun kita nasihati agar pergerakan dihadkan buat seketika ini.

“Dalam Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) yang dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kita memutuskan pelajar yang tidak balik boleh kekal (terus tinggal) di kediaman dan diberi pilihan untuk menginap di fasiliti IPT masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan negeri melalui Sarawak Volunteers dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Sarawak di Kuala Lumpur juga telah mengambil inisatif dengan memberikan bantuan tempat tinggal dan makanan kepada pelajar yang terjejas dalam tempoh ini.

Katanya, para pelajar juga perlu sentiasa berhubung dengan Unit Hal Ehwal Pelajar di universiti masing-masing dan dinasihatkan untuk sentiasa patuh dan peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Mana-mana pelajar Sarawak yang mempunyai masalah berkenaan penempatan sementara atau akses makanan boleh menghubungi Sarawak Volunteers di talian 013-895 0345 (Khairul), 012-462 9293 (Sakinah) dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur 019-388 2984 (Dayang).