Larangan Guna Jeti Pelancongan Kepada Syarikat Tidak Berlesen Perlu Dikuatkuasakan

241
KERINO JALANI

SEMPORNA: Penggiat industri pelancongan berlesen di daerah ini menggesa pengurusan Jeti Pelancongan Dan Pusat Informasi Semporna menutup pintu kepada pengusaha pelancongan yang tidak berlesen untuk beroperasi di jeti berkenaan.

Ia selaras dengan usaha kerajaan membanteras aktiviti pelancongan yang tidak berlesen di daerah ini.

Persatuan Pengusaha Pelancongan Syarikat Tempatan Bumiputera Semporna dan Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) menyarankan kerajaan supaya menguatkuasakan larangan penggunaan jeti itu ke atas pengusaha dan bot tidak berlesen.

Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Syarikat Tempatan Bumiputera Semporna Kerino Jalani berkata, pada awal tahun ini, pengusaha pelancongan berlesen telah menyertai taklimat dari Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) Sabah. Ia turut dihadiri oleh wakil-wakil Pejabat Daerah, Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa.

“Ketika itu, keputusan telah diambil untuk tidak membenarkan pihak pengurusan Jeti Pelancongan menerima pengusaha pelancongan yang tidak berlesen. Namun sehingga kini arahan itu seolah-olah diabaikan dan tidak dikuatkuasakan.

“Sekiranya perkara ini dipatuhi, kemungkinan besar insiden-insiden sebelum ini dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya risiko dapat diminimumkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Bagi Presiden SPDA Abdul Razak Ismail, tanpa sekatan sebegini sukar untuk menangani isu pengambilan jurulatih selaman tidak berlesen.

“Kita dapat lihat ada syarikat pelancongan tidak berlesen bertindak mengambil jurulatih selaman yang tidak berlesen dan ini akan lebih menyulitkan keadaan.

“Dengan bayaran gaji serendah RM20 sehari, syarikat pelancongan tidak berlesen dapat beroperasi dengan murah dan gejala ‘buang harga’ berlaku.

“Semporna kadang kala dilihat sebagai destinasi murah dan ini menyebabkan kerugian kepada penduduk setempat yang mencari nafkah mengikut cara yang betul,” ujarnya.

Beliau berkata, tahun ini sahaja terdapat beberapa insiden yang melibatkan syarikat pelancongan tidak berlesen. Antaranya bot terbakar hingga menyebabkan beberapa pelancong domestik melecur di bahagian kaki.

Kedua-dua persatuan ini khuatir sekiranya penggunaan jeti pelancongan masih memberi ruang kepada pengusaha tidak berlesen, Semporna kehilangan pelancong luar negara, terutamanya dari China.