Laporan Penuh MA63 Siap Jun Ini, Shafie Apdal

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Laporan penuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka siap pada Jun tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kajian yang sedang dijalankan dijangka siap bulan Jun ini dan mesyuarat penyediaan Laporan Interim MA63 akan diadakan di Sabah akan diadakan pada 22 hingga 24 April.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat Sabah yang sepakat menyokong usaha menuntut hak-hak rakyat negeri ini seperti yang terkandung dalam MA63.

“Kesepakatan ini menunjukkan negeri ini memiliki satu suara demi untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya ketika ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri sempena Mesyuarat pertama penggal kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Mengenai cadangan Datuk Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) agar kerajaan menggunakan Perkara 8 dalam menuntut hak-hak dalam MA63, Mohd Shafie berkata, Perkara 8 memang menjadi intipati utama dalam tuntutan hak-hak Sabah yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Perkara itu akan dikaji dan diteliti dalam Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak semula MA63 yang dibentuk Kerajaan Persekutuan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet ini wujud tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji MA63.

“Di bawah Jawatankuasa Kerja pula dibahagikan kepada tiga kluster yang diketuai oleh Lead Agency terdiri daripada Kementerian-Kementerian Persekutuan. Kluster itu meliputi kluster kewangan, kluster ekonomi dan kluster sosial.

“Kluster kewangan akan mengkaji isu berkaitan pemberian khas manakala, kluster ekonomi meliputi kajian berkaitan pencarian dan hasil minyak dan gas, hasil tanah serta hasil perikanan dan maritim.

“Untuk kluster sosial pula, ia melibatkan kajian berkaitan tenaga buruh, kerja raya negeri dan persekutuan, perkhidmatan awam serta kesihatan,” ujarnya.

Selain Shafie, turut menganggotai Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusi Perdana Menteri adalah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong, Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta beberapa kementerian dan badan lain yang turut terlibat dalam kajian MA63.

Dalam pada itu, isu seperti pembayaran tunai, perbincangan komersil dan cukai termasuk duti import dan eksport serta cukai jualan akan dibincangkan dalam forum berasingan.