Laporan Palsu Dan Putar Belit Oleh Editor Daily Express, James Sarda

149

KOTA KINABALU: Ketua Pengarang Daily Express, James Sarda dibidas kerana memutar belit dalam laporannya tentang kenyataan Perdana Menteri yang didakwa berkata menteri Kabinet dari Sabah tidak membangkitkan isu-isu tentang negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyelar surat khabar itu dan Sarda kerana laporan tidak profesional berkenaan dan meminta editor tersebut meminta maaf serta menarik balik laporannya.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking turut menghentam Daily Express dengan berkata:

“Saya dan rakan-rakan dari Borneo Sabah dengan tegas menafikan konteks laporan tersebut yang menunjukkan seolah-olah kami tidak pernah mengambil berat atau membangkitkan isu Sabah dalam Kabinet,” katanya.

Berikut kenyataan penuh Vui Keong:

Saya sangat terganggu dengan sikap tidak profesional laporan berita Daily Express (Sabtu 17 Ogos 2019) yang melaporkan berita putar belit dan tidak tepat tentang kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang menjawab beberapa soalan ditanya oleh Ketua Pengarang Daily Express, James Sarda.

James Sarda (tengah) kelihatan bergambar bersama pemimpin Umno, Salleh Said Keruak dan Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar diambil dari Daily Express

Dalam artikel berita Daily Express hari ini, telah disalah lapor bahawa: “Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terkejut mengetahui bahawa pemimpin Kerajaan Sabah mengadu tiada rundingan dalam beberapa keputusan diambil Persekutuan baru-baru ini.

Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan wartawan bahawa sebagai kerajaan yang menjadi rakan Pakatan Harapan pandangan mereka sekurang-kurangnya diambil kira atau dipertimbangkan dalam keputusan-keputusan besar seperti levi pelepasan, pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah tahun depan, katanya:

“Setahu saya, mereka (wakil Sabah dalam Kabinet Persekutuan) tidak berkata apa-apa”.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengatakan apa yang diputar belit oleh James Sarda.

Saya telah mendengar dan melihat video rakaman sidang akhbar itu hari ini.

Perdana Menteri dengan jelas berkata: “Kerajaan Sabah tidak bercakap apa-apa tentang kami, hanya kamu yang kata.

Tiada dalam reaksi Perdana Menteri menyatakan saya dan rakan Sabahan tidak pernah membangkitkan dalam Kabinet kerisauan kami tentang isu-isu utama seperti levi pelepasan, pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah tahun depan.

Laporan Daily Express jelas tidak berasas.

Sebagai menteri kepada seluruh rakyat Malaysia dan bersama rakan-rakan dalam Kabinet, kami berkerja keras memikil tugas sedaya upaya kami untuk membina semula negara, mendesak transformasi institusi dan menyelesaikan masalah ketidakstabilan sosial serta ekonomi negara dan membasmi rasuah.

Saya dengan ini meminta supaya laporan berita palsu oleh Daily Express itu dibuat pembetulan, ditarik balik dan ada permohonan maaf.

Akhir sekali, saya menyeru semua rakyat Malaysia menolak laporan media tidak beretika yang memutar belit kebenaran bertujuan mewujudkan ketegangan dan kekecohan di media sosial.