Lapangan Terbang Tawau Dinaik Taraf, Patuhi Standard Antarabangsa

Kamaruzzaman berkata pihaknya menunggu laporan penuh konsultan berhubung kajian penaiktarafan LTT.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Konsultan penilai dijangka mengemukakan laporan kerja menaik taraf Lapangan Terbang Tawau (LTT) kepada Malaysia Airport Sdn. Bhd. (MASB) dan kerajaan pada April tahun depan.

Pengurus Besar MASB, Kamaruzzaman Razali mengesahkan pihaknya sudah melantik konsultan penilai berkenaan dalam usaha menaiktaraf LTT menjadi lapangan terbang antarabangsa pada masa akan datang.

“MASB melihat keperluan penaiktarafan tersebut memandangkan LTT dibina khusus untuk penerbangan domestik.

“Sebagai rekod, LTT kini mula menerima penerbangan antarabangsa secara langsung membabitkan Tarakan, Indonesia dan Brunei,”katanya ketika ditemui sempena meraikan penerbangan sulung Royal Brunei Airlines (RBA) ke Tawau, di sini, semalam.

Pelancong dari Brunei yang menaiki penerbangan sulung RBA ke Tawau.

Kamaruzzaman berkata, keperluan penaiktarafan LTT itu penting dalam usaha mematuhi keperluan piawaian lapangan terbang antarabangsa.

“Antara keperluan yang diambil kira adalah pengasingan laluan penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Selain itu, bilangan penumpang penerbangan di LTT yang semakin meningkat juga mempengaruhi kerja penaiktarafan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tahun lalu LTT menerima bilangan penumpang seramai 1.64 juta.

“Dalam tempoh 10 bulan tahun ini sahaja, jumlah penumpang yang diterima LTT lebih banyak daripada jumlah penumpang sepanjang tahun 2018,” katanya.

Terdahulu beliau bersama-sama Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman menyambut ketibaan penerbangan sulung RBA dari Bandar Seri Begawan, Brunei kira-kira pukul 6.20 petang semalam.

Sementara itu, Noredah menyifatkan penerbangan antarabangsa kedua di LTT itu mampu meningkatkan ekonomi negeri khususnya Tawau.

“Dengan adanya penerbangan ini, dijangka lebih ramai pelancong asing ke Tawau memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei merupakan antara hub penerbangan dunia.

“Justeru, saya yakin jumlah pelancong dari Brunei akan terus meningkat ke sini, kerana Tawau menyediakan destinasi pelancongan yang menarik termasuk daerah berhampiran khususnya Semporna,” katanya.

Timbalan Presiden Kanan (Senior Vice President) RBA Louis Du Plessis, berkata, kerjasama antara kedua-dua lapangan terbang itu bakal memberi situasi menang-menang.

“Kami menyasarkan lebih banyak pelancong luar khususnya China dari Tawau ke Brunei selepas ini.

“Dalam masa sama, terdapat permintaan daripada orang ramai di Brunei untuk mewujudkan penerbangan langsung RBA ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan RBA menyediakan penerbangan enam kali seminggu dari Brunei ke Tawau.