Lapan Syarikat Telah Bayar Cukai Kecuali Petronas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAWAU: Lapan daripada sembilan syarikat cari gali minyak yang beroperasi di Sabah telah membayar lima peratus cukai jualan produk petroleum kepada kerajaan negeri kecuali Petronas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, lapan syarikat berkenaan telah membuat bayaran itu sejak beberapa bulan lalu.

“Empat bulan yang lalu saya telah kenakan cukai lima peratus kepada semua syarikat minyak di negeri Sabah, sembilan syarikat termasuk Shell termasuk ConocoPhillips sembilan syarikat semuanya..

“Kecuali Petronas belum bayar yang lain sudah pun bayar kepada kerajaan negeri beberapa bulan yang lalu, ini tidak pernah berlaku,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah di Daerah Tawau dan Kalabakan hari ini.

Bermula 1 April lalu, Kerajaan Sabah telah mengenakan cukai jualan sebanyak lima peratus terhadap produk petroleum di negeri ini iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli cecair serta gas asli.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Petronas Carigali Sdn. Bhd, Hibiscus Petroleum Bhd., Repsol Oil&Gas Malaysia Limited, PTTEP Sabah Oil Limited, ConocoPhillips Asia Limited, Sabah Shell Petroleum Company, PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Producksi, Shell Energy Asia Limited dan Petronas Floating LNG.

Kesemua syarikat itu perlu membayar cukai yang dituntut mengikut Seksyen 10 (10) Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998 dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 31 Enakmen sama.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, pihaknya akan terus berrunding dengan Petronas untuk memastikan cukai itu dibayar.

“Kita tengah berunding dengan mereka begitu juga di Sarawak belum ada saya sudah hantar surat kepada mereka daripada kerajaan negeri untuk mendapat maklumat selanjutnya mungkin ada perundingan yang diperlukan kita akan berunding.

“Cuma yang lain kita sudah menerima lima peratus cukai jualan selain royalti minyak yang ada,” katanya.