Lapan PATI Ditahan Selepas Pulang Beraya Dari Indonesia

TAWAU: Hasrat lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia kembali ke tempat kerja selepas beraya di kampung tidak kesampaian apabila kesemua mereka ditahan di perairan daerah ini pada Ahad.

Kesemua PATI yang berusia antara dua hingga 40 tahun itu ditahan semasa cuba menyusup masuk melalui perairan daerah ini secara haram.

Komander Angkatan Tentera Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim berkata, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) berjaya mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan masuk ke perairan Tawau kira-kira 4.15 petang semalam.

Sebaik sahaja tiba di daratan, kesemua PATI itu dilihat menaiki sebuah teksi yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup masuk PATI tersebut.

Kemudian pasukan QRF bertindak mengekori teksi tersebut sehingga pemandunya menurunkan kesemua PATI di Jalan Chen Fook dan pemandu teksi bertindak melarikan diri apabila menyedari diekori oleh pasukan QRF.

“Pasukan QRF bertindak menahan kesemua individu tersebut bagi melaksanakan pemeriksaan awal dokumen.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI memiliki dokumen pengenalan diri warga Indonesia iaitu pasport dan permit kerja yang sah. Namun, tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.

“Justeru itu, kesemua PATI yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita serta seorang bayi perempuan. Pemeriksaan yang dilakukan tidak menemukan barang-barang terlarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kesemua PATI memberitahu mereka berasal daripada Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan kembali ke tempat kerja setelah bercuti Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Indonesia.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kejayaan itu membuktikan ATB 2 melalui kawalan yang lebih kukuh di sempadan negara dengan analisa terperinci terhadap modus operandi ancaman semasa mampu menumpaskan jenayah rentas sempadan ini.

Jelas beliau, ATB 2 akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan daripada terus berlaku.

Tambahnya, ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum melalui atur gerak kelengkapan berteknologi tinggi dalam mengesan sebarang pencerobohan di perairan negara ini. Tiada sebarang kompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.