Lapan Nelayan Asing Ditahan, Tangkap Ikan Di Perairan Labuan

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan dan Jabatan Perikanan Labuan menahan lima nelayan Vietnam serta tiga nelayan Indonesia kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara  membabitkan rampasan berjumlah RM336,600, dalam operasi berasingan yang diadakan semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kes pertama, nelayan warga Vietnam itu didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran pada 9 pagi di perairan Malaysia.

“Kami merampas bot kayu mereka bersama enjin dan peralatan menangkap ikan bernilai RM133,800, bagaimanapun semasa penahanan itu, tiada hasil laut yang ditangkap nelayan terbabit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penahanan kedua melibatkan warga Indonesia berusia antara 25 dan 38 tahun di atas sebuah kapal pukat tunda kerana menangkap ikan menggunakan pukat di bawah 38mm, iaitu kesalahan di bawah Seksyen  26 (b) Akta Perikanan 1985.

“PPM dan Jabatan Perikanan sedang mengadakan Op Gelora Khas apabila pasukan kami mendapati mereka menangkap ikan secara haram kira-kira 7.4 batu nautika di perairan Tanjung Punai berhampiran Universiti Malaysia Sabah Labuan pada 6.50 pagi semalam,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata rampasan bernilai RM202,800  membabitkan hasil tangkapan berjumlah 150 kilogram, kapal pukat tunda bersama enjin dan peralatan menangkap ikan.