Lapan Keluarga Dipindahkan, Sungai Kinabatangan Meningkat Ke Paras Amaran

KINABATANGAN: Dua puluh lapan orang daripada lapan keluarga termasuk seorang bayi berusia seminggu, di Pangkalan Bukit Garam dekat sini berpindah ke Balai Raya Pangkalan berikutan paras air di Sungai Kinabatangan meningkat ke paras amaran walaupun tiada hujan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata rumah penduduk yang terlibat terletak di tepi sungai, justeru lantai rumah mereka ditenggelami air apabila paras air sungai itu tinggi dan melimpah.

Beliau berkata peningkatan paras air itu berpunca daripada air dua batang sungai iaitu Sungai Kuamut dan Sungai Pinangoh melimpah ke Sungai Kinabatangan.

“Pemantauan oleh APM dan Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan bermula semalam  menunjukan peningkatan paras air secara mendadak sehingga melebihi 9.3 meter paras amaran dengan bacaan 9.34 meter. Paras bahaya adalah pada 10.3 meter. 

“Keadaan ini memberi kesan kepada penduduk yang membina rumah berhampiran sungai pada ketinggian sehingga empat kaki (1.2 meter) dari paras muka bumi…penduduk berpindah secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Roslan berkata APM prihatin dengan kebajikan penduduk berkenaan dan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, telah menyalurkan bakul makanan, pelitup muka, pensanitasi tangan dan dinding penghadang  untuk keselesaan mereka. 

Ahmad Roslan berkata pihaknya bersama agensi keselamatan sentiasa siap siaga membantu penduduk yang terjejas dengan bencana, termasuk banjir.

Beliau turut menasihati penduduk supaya menjadikan banjir kali ini sebagai pengajaran dan lebih bersedia menghadapi bencana itu pada masa depan.

“Setiap awal tahun kerap berlaku kenaikan paras air dan penduduk, khususnya yang tinggal berhampiran sungai harus lebih responsif kepada fenomena ini,” katanya.