SEMPORNA: Keanggotaan Majlis Daerah di seluruh Sabah akan ditambah termasuk melibatkan lantikan golongan profesional bagi memastikan sistem kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih cepat dan berkesan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata perkara tersebut sedang dibincang bersama setiausaha tetap serta anggota dalam kementerian.
“Misalnya dari 24 Ahli Majlis Daerah, kita akan tambah lagi enam, menjadikan 30 ahli majlis.
“Kita melihat kepada Tawau yang kawasan perbandaran semakin luas dan jika jumlah keanggotaan 24 ahli majlis itu masih kekal, ahli akan kurang keupayaan menjalankan tugas sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah 18 muka baharu Ahli Majlis Daerah Semporna di sini, hari ini (Rabu).
“Oleh kerana untuk pembangunan ini, melibatkan undang-undang dan sebab itu kita perlu golongan profesional.
“Melalui lantikan golongan profesional, PBT boleh tangani rungutan rakyat contohnya berkaitan pelan pembangunan yang lambat diproses kerana tiada kepakaran di PBT,” katanya lagi.
Sementara itu Jaujan berkata tunggakan kutipan cukai pintu di Sabah adalah kritikal ekoran pendekatan tidak efisyen pentadbiran majlis daerah termasuk kepekaan rakyat mengenai peranan membayar cukai pintu.
Katanya, duit bayaran cukai itu bukan untuk kegunaan Majlis Daerah tetapi akan dipulangkan kepada rakyat menerusi pembangunan setempat.