Lantikan Ketua Kampung Wajib Selesai Pada Pertengahan Mac-Aidi Mokhtar

1622
Aidi (duduk (dua kiri) bersama Pembantu Menteri Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai (duduk-kiri) dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi Datuk Bruno Vun (duduk-tiga kanan) bergambar dengan pegawai dan kakitangan Unit Bumiputera

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Khabar angin mengaitkan kelewatan perlantikan Ketua Kampung dengan usaha memberi kewarganegaraan kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) sama sekali tidak benar.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mohktar berkata, khabar angin sebegitu tidak betul kerana walaupun tiada Ketua Kampung namun, Ketua Anak Negeri (KAN) telah dilantik dan mereka ini juga mempunyai kuasa memberi pengesahan dokumentasi.

Beliau berkata, menjelang penghujung Februari ini, semua lantikan jawatan politik di bawah kementerian itu akan diselesaikan termasuklah perlantikan Ketua Kampung.

Katanya, hanya ada beberapa kampung sahaja lagi yang masih belum selesai menghantar borang lantikan Ketua Kampung kepada pihak kementerian.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi Datuk Bruno Vun (empat kanan) menyerahkan Unit Bumiputera kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri Jasli Tindi

”Sehingga kini 90 peratus sudah menghantar borang lantikan Ketua Kampung. Beberapa kampung yang belum selesai ini disebabkan oleh karenah parti-parti politik. Itu yang melambatkan proses lantikan.

”Untuk memuktamadkan lantikan itu, kita terpaksa berunding dengan semua parti komponen termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), PKR dan DAP.

”Kita mahu kalau boleh semua wakil-wakil parti komponen ini mempunyai wakil di peringkat kampung dan daerah.

”Kami mahu mengambil kira semua pandangan dan jika tidak boleh selesai juga, kementerian ini akan membuat keputusan,” katanya ketika ditanya tentang lantikan Ketua Kampung yang masih belum selesai sehingga kini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Unit Bumiputera daripada Kementerian Pelajaran dan Inovasi kepada Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Aidi berkata, beliau yakin semua lantikan Ketua Kampung akan selesai paling lewat pada pertengahan Mac ini. Lantikan itu wajib diselesaikan menjelang pertengahan Mac ini.

”Proses lantikan itu wajib diselesaikan supaya setiap kampung mempunyai Ketua Kampung. Ketiadaan Ketua Kampung menyukarkan rakyat mendapatkan pengesahan dokumen anak-anak yang bersekolah.

”Walaupun ada KAN namun, kebanyakan mereka di luar bandar hanya mahukan Ketua Kampung untuk membuat pengesahan dokumen,” ujarnya.

Mengenai penyerahan Unit Bumiputera kepada kementerian itu, Aidi berkata, penyerahan unit yang sebelum ini di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi itu bersesuaian dengan bidang tugas kementeriannya.

Menurutnya, pada masa akan datang, Unit Bumiputera itu mungkin akan digantikan kepada Unit Anak Negeri dan lesen perniagaan yang dikeluarkan akan dikenali sebagai lesen anak negeri dan bukan lagi lesen bumiputera.

Unit yang bertanggungjawab memberi kelulusan kepada status bumiputera perniagaan ini telah diwujudkan sejak 1981.

Sehingga kini, sebanyak 43,000 ahli yang telah berdaftar di bawah Unit Bumiputera ini.