Lantikan Ketua Kampung, Ketua Adat Akan Selesai Oktober Ini – Aidi

100
Aidi (dua kanan) bersama dengan pegawai kanan Kementerian Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri yang lain.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar menolak tanggapan liar dan kritikan yang mendakwa kementerian dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri (JHEAN) tidak melaksana tugas lantikan ketua adat dan ketua kampung dengan baik.

Beliau berkata, tidak timbul soal kelalaian di pihak kementerian mahupun JHEAN untuk melambat-lambatkan perlantikan ketua kampung dan ketua adat ini.

Katanya, sehingga kini, kementerian melalui JHEAN telah melantik 3,516 ketua adat daripada 3,966 orang kekosongan jawatan yang ada. Hanya 450 kekosongan yang masih tinggal.

Bagi ketua kampung pula, seramai 2,532 orang telah dilantik daripada 2,839 kekosongan jawatan yang ada. Sejumlah 387 lagi belum dilantik.

Berikutan itu, Aidi memberi jaminan lantikan ketua kampung dan ketua adat yang masih belum dilantik itu akan diselesaikan menjelang Oktober ini.

Beliau berkata, lantikan itu sedikit lewat berikutan kesukaran menentukan calon di peringkat daerah dan kampung tertentu kerana bukan mudah memutuskan calon disebabkan setiap parti mempunyai pilihan tersendiri.

Atas sebab itu, beliau meminta agar proses pemilihan diperingkat daerah dapat dipercepatkan agar perlantikan ketua kampung dan ketua adat dapat dilakukan.

“Berdasarkan prosedur, calon yang dipilih akan ditapis oleh Jawatankuasa Penapisan di peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

“Namun, sekiranya belum ada nama calon yang dikemukakan maka, Jawatankuasa Penapisan Akhir yang diketuai Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri (MHEAN) tidak dapat melakukan tugas lantikan itu secepat mungkin,” katanya ketika Sidang Media mengenai Pelantikan Ketua Kampung dan Ketua Adat, di sini pada Khamis.

Megulas mengenai isu pembayaran gaji, seramai 3,176 orang atau 92 peratus ketua kampung dan ketua adat telah mendapat gaji masing-masing. Gaji selebihnya akan dibayar selewat-lewatnya pada November ini.

Beliau berkata, lantikan ketua kampung dan ketua adat itu mula dilakukan pada November tahun lalu secara berfasa mengikut daerah.