Langkah Penjimatan: Potong Separuh Gaji Menteri, Timbalan Menteri – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan gaji dan elaun menteri dan timbalan menteri dipotong separuh bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, tidak cukup jika hanya memotong gaji menteri dan timbalan menteri 25 peratus peratus sahaja.

“Sudah tiba masa untuk mengkaji perbelanjaan berlebihan dalam pembayaran gaji atau elaun kepada Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tindakan menaikkan elaun pengerusi FGV Berhad kepada 60 peratus tidak seharusnya dlakukan semasa negara sedang berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi.

“Kerajaan seharusnya melakukan pembekuan gaji dan bonus bagi pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah syarikat-syarikat GLC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie yang juga, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, langkah bersifat sementara sebegitu perlu diambil sebagai langkah penjimatan.

Dalam pada itu, katanya, biarpun kerajaan perlu memberi bantuan jangka pendek seperti pemberian subsidi namun, kerajaan harus tampil dengan pelan strategik jangka panjang untuk menangani isu keselamatan makanan yang sedang dihadapi.

Ketika ini, kerajaan membelanjakan RM77.3 bilion untuk pemberian subsidi namun, sebahagiannya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi dan ia satu pembaziran.

Menurutnya, peruntukan untuk subsidi pada tahun ini lebih tinggi daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan iaitu RM76.6 bilion dan keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan.

Mohd Shafie berkata, pemberian subsidi sedia ada perlu dirombak semula bagi memastikan ia disalurkan secara bersasar kepada ketua isu rumah yang benar-benar layak.

Tambahnya, pemberian subsidi yang berterusan menunjukkan pengurusan ekonomi negara yang tidak cekap.

Menurutnya, pada bulan lepas, kerajaan memperuntukkan RM7.5 bilion bagi pembayaran hutang 1MDB dan RM7.5 bilion lagi perlu dibayar pada hujung tahun ini.

Secara keseluruhan, kerajaan membelanjakan RM92 bilion bagi pembayaran hutang dan juga subsidi.

“Jika dibandingkan, kita hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan pembangunan bagi sektor kesihatan dan pendidikan yang boleh memberi manfaat bagi jangka masa panjang.

“Kemana hala tuju negara ini? Kita mempunyai Kabinet yang begitu sarat dengan adanya majlis ekonomi, majlis pemulihan ekonomi. Tapi, kerajaan tidak boleh mengawal harga ayam.

“Masalah ekonomi di negara ini semakin teruk dan membelanjakan sebahagian besar kewangan untuk subsidi berbanding perbelanjaan pembangunan tidak akan memperbaiki keadaan yang ada sekarang.

“Bagaimana kerajaan mahu menjelaskan kepada rakyat mengenai peruntukan untuk memberi subsidi dan apa impakya kepada hutang dan defisit kerajaan,” ujarnya.

Jelas beliau, negara ini perlu melakukan reform bagi menambah baik dasar dan strategi untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia berjalan lancar dan mampan agar dapat berdepan dengan cabaran dan krisis ekonomi di peringkat global.