Laluan Ke Pusat Pengundian Di Pensiangan Dinaiki Air, Pengundi Dibantu Bomba

SOOK : Laluan utama ke sebuah pusat pengundian di kawasan Parlimen Pensiangan

dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat hujan berterusan siang tadi.

Banjir menyebabkan 40 pengundi terpaksa dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah untuk ke pusat pengundiandi Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Belia Tiolon, Sook yang terletak dalam kawasan Parlimen P 182 Pensiangan.

Antara laluan yang terjejas banjir ialah jalan SK Rancangan Belia Tiolon, Sook, Keningau dan Kilometer 3 Jalan Sook – Nabawan.

Jurucakap JPBM Sabah berkata, kesemua pengundi berkenaan diambil dan dihantar menggunakan lori bomba dari kawasan terjejas ke pusat pengundian dengan operasi kini masih lagi berjalan.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama dua lori, kenderaan pacuan empat roda dan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan BBP Tenom dikerah untuk membantu mengambil pengundi dari Simpang Rancangan Belia dan dihantar ke pusat pengundian menggunakan lori bomba.

Turut membantu, 13 anggota tentera yang menggunakan 2 trak serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kerja-kerja mengambil dan menghantar pengundi yang dianggarkan seramai 40 orang itu masih dijalankan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.