Laluan Jalan Pensiangan-Sapulut Ditimbus Lumpur, Kayu; Mana Kurup

Membaiki jalanraya dengan tenaga sukarelawan. – Gambar-gambar Adrian Lasimbang

PENSIANGAN: Pensiangan di era penjajahan dahulu merupakan pusat pentadbiran bagi daerah itu sehingga pada tahun 1970 apabila pusat pentadbiran daerah yang baru dipindahkan di Nabawan.

Nama Pensiangan juga gah di luar sana sebab beberapa nama agensi kerajaan berkaitan dengan nama Pensiangan seperti Pejabat Klinik Kesihatan Daerah Pensiangan, Pejabat Pendidikan Daerah Pensiangan, SK Pekan Pensiangan Komprehensif 9 (K9) yang merupakan Sekolah Modal Khas (Pembelajaran Tahun 1 – Tingkatan 3) yang pertama di Sabah dan Ahli Parlimen P.182 Pensiangan merupakan seorang Menteri Penuh di Kerajaan Pusat.

Namun keadaan jalanraya ke Pensiangan yang berstatus jalan kayu balak perlu diambil alih oleh JKR dan dinaiktaraf sebagai jalanraya yang berkualiti.

Penduduk kampung dan pengguna meminta supaya pihak berkenaan mengambil tindakan segera membaiki laluan di jalan raya Kilometer 35 dan 34, Jalan Pensiangan – Sapulut yang tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat ditimbus lumpur dan kayu yang dihanyutkan air hujan dari kawasan bukit sejak Isnin yang lalu.

Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, John Bin Endim telah meminta bantuan kepada para pemuda yang berada di sekitar pekan Pensiangan seramai 24 orang untuk mengadakan gotong royong yang siap pada jam 5 petang Selasa lalu.

Namun difahamkan ianya bersifat sementara kerana jika hujan berterusan keadaan jalan raya akan bertambah teruk dan kemungkinan besar tidak akan dapat dilalui.

Kejadian itu, katanya disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan yang berlarutan sejak Sabtu lalu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penduduk kampung yang telah bekerjasama untuk membersihkan laluan jalan raya tersebut” katanya.

Difahamkan para penduduk hanya menggunakan alat-alat seperti cangkul, parang dan chainshaw untuk tujuan tersebut.

“Jalan raya ini merupakan mata pencarian rezeki kami untuk menghantar penduduk kampung yang mempunyai urusan rasmi samada di Pekan Nabawan atau Bandar Keningau” kata yang dipertua PIBG SK Pekan Pensiangan iaitu Amboard Bin Endim.

Beliau menambah lagi “sekiranya kami menggunakan laluan sungai ianya amat menyukarkan kami kerana kos bot yang tinggi sekitar RM400 – RM500 bergantung keadaan sungai dan kuasa kuda engin bot yang digunakan. Disamping itu jarak dan tempoh perjalanan yang agak jauh dan mengambil masa yang lama.”

“Kami penduduk mukim Pensiangan memohon agar pihak kerajaan dapat membina jalan raya yang baik dari Sapulut Ke Pensiangan demi kemudahan yang terbaik kepada penduduk kampong,” kata Kirim Bin Limpas, 48.

“Kemudahan jalan raya yang baik tentu amat baik kepada kami terutama untuk membawa pesakit ke Klinik Kesihatan Nabawan bagi mendapatkan rawatan segera,” kata Dr Ukim Bin Antiko, Pegawai Perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Pensiangan.

Pensiangan hanya boleh dikunjungi melalui perjalanan bot selama 3 – 4 jam daripada jeti Salung dan menyambung perjalanan dengan jalan raya tanah merah ke Sapulut sejauh 25 KM.

Selain itu, perjalanan sejauh 37KM melalui jalan darat yang digunakan oleh lori-lori balak dari Pensiangan ke Sapulut. Sebanyak 37 buah kampung dengan penduduk seramai 5,000 yang menggunakan laluan tersebut.

Terdapat empat buah sekolah rendah iaitu SK Pekan Pensiangan K9, SK Saliliran, SK Sibangali dan SK Salinatan serta sebuah klinik iaitu Klinik Kesihatan Pensiangan.

Tiga buah Asrama Desa iaitu SK Saliliran, SK Pekan Pensiangan K9 (220 penghuni) dan SK Sibangali untuk para pelajar tinggal di mana pembekal bahan mentah makan dan minum perlu menghantar bahan bahan tersebut ke sekolah berkenaan dua kali dalam seminggu.

Disamping itu, jalan raya ini juga digunakan oleh Unit Klinik Bergerak dari Klinik Kesihatan Nabawan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan di Mukim Pensiangan iaitu Kg Salinatan, Kg Sabinait dan Kg Siwanal yang merupakan kampung yang sukar untuk datang ke klinik terdekat bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Perkhidmatan ini dijalankan sebanyak sekali dalam sebulan.

Keadaan jalanraya yang baik dan berkualiti sudah pasti akan membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk Mukim Pensiangan.