Laluan Jalan Lintas Kota Kinabalu Dibuka Kepada Pengguna Jalan Raya Hari Ini

KOTA KINABALU: Pembukaan jejantas fasa kedua sepanjang enam kilometer di Jalan Lintas di sini hari ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Bagi pihak kerajaan negeri, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kerja Raya kerana telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk projek berkenaan yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada Oktober 2015.

“Walaupun status tanah berkenaan di bawah tanah kerajaan negeri tetapi peruntukan itu telah diluluskan dan kita berharap kelulusan menaik taraf jalan untuk fasa seterusnya akan diberikan seperti cadangan menaik taraf Jalan Donggongon dan Tambunan yang dijangka dimulakan pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan dan pembukaan persimpangan bertingkat Jalan Penampang Bypass dan Persimpangan Lido, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Datuk Abdul Razak Jaafar.

Peter berkata bagi projek lain yang kini masih dalam proses dinaik taraf ialah Jalan UMS bernilai RM424 juta dan status pembinaan adalah 31 peratus yang dijangka siap pada 2021.

“Kita berharap selepas siap pembinaan projek jejantas fasa pertama dan fasa kedua serta jalan Donggongon-Tambunan, kesesakan lalu lintas di Kota Kinabalu hingga ke Inanam akan dapat diatasi,” katanya.

Fasa pertama naik taraf Jalan Lintas Kota Kinabalu telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan kos RM261.8 juta, berjaya disiapkan dalam tempoh 30 bulan.