Laksanakan MA63 Tanpa Tawar-Menawar, Kata Honorsius Alfred

Honorsius Alfred Bosuin, kiri.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah untuk dihormati, dipatuhi dan dilaksanakan, bukan dijadikan bahan tawar-menawar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah, Honorsius Alfred Bosuin berkata Persekutuan berkewajipan melaksanakan segala hak Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam MA63 tanpa menghakis sebarang peruntukan dalam perjanjian tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Sejak MA63 ditandatangani antara Malaya, British, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah), banyak peruntukan dalam perjanjian itu telah diabaikan dan tidak dipatuhi Persekutuan dalam menjalankan kuasa-kuasanya ke atas Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak pada satu pihak wajar menuntut melalui DUN apabila mendapati wujud butiran perjanjian yang dilanggar oleh Persekutuan,” kata Honorsius dalam satu kenyataan.

Honorsius menyatakan demikian sebagai reaksi kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Raymond Tan Shu Kiah yang menyatakan Sabah telah kehilangan kuasa untuk mengurus sendiri bekalan elektrik dan agihan gas aslinya yang merupakan hak istimewa Sabah yang termaktub dalam MA63.

Pendirian Warisan tentang MA63 adalah jelas iaitu Persekutuan bertanggungjawab melaksanakan semua butiran MA63 ke atas Sabah dan Sarawak.

“Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya menghakis mana-mana peruntukan dalam perjanjian itu tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” kata Honorsius.

Dalam kenyataannya, Raymond merujuk Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang dipetik sebagai berkata pihaknya akan merundingkan semula MA63 untuk pelaksanaan yang lebih baik dan adil kepada Malaya, Sabah dan Sarawak.

Raymond dalam kenyataan itu juga turut menyebutkan Perdana Menteri, Najib Razak memberi jaminan akan mengembalikan hak-hak Sabah dalam MA63 yang sudah terhakis.

Honorsius meyifatkan jaminan dan janji yang baik tentang MA63 oleh pihak Persekutuan sesungguhnya tidak praktikal kerana tindakan yang wajar adalah langkah konkrit menghormati dan melaksanakan kandungan perjanjian itu.